Masa memang tidak menunggu manusia. Pejam celik-pejam celik umur semakin meningkat. Semakin banyak juga pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan menuju kedewasaan. Namun pengalaman yang ada pada diri ini pasti tidak mampu menandingi mereka yang terlebih dulu makan garam. Lalu cara diri memandang kehidupan juga pasti sebatas pemikiran mereka yang berumur 20 tahun yang belajar erti kehidupan melalui pembacaan, pengalaman diri sendiri mahupun pengalaman hidup orang lain. Pada hemat aku, setiap manusia itu adalah seorang pelajar bermula dari dia dilahirkan ke dunia sehinggalah pada saat nyawa tidak lagi dikandung badan. Seawal usia masih bayi, dia dikenalkan dengan kalimah Yang Maha Agung. Diajarkan cara berjalan, bercakap, dan mengenali abjad dan nombor seiring peningkatan usia. Apabila melangkah ke alam persekolahan, dia diajarkan ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi yang lebih rumit. Namun tidak semua manusia benar-benar menghayati erti sebenar menjadi seorang pelajar. Bagi diri ini, aku mula memahami erti menjadi seorang pelajar pada usia 11 tahun melalui seorang guru. Memori itu masih segar diingatan bagaikan ianya baru berlaku semalam. Pada ketika itu guru kelas aku, Puan Norliza,mengumpulkan semua pelajar Melayu pada waktu rehat setelah semua pelajar bukan Melayu beredar ke kantin. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan. Guru tersebut menasihati kami supaya belajar bersungguh-sungguh agar dapat membantu diri sendiri, keluarga dan juga orang Islam. Beliau berkata demikian dalam nada merayu sementelah pada saat itu di Selatan Thai, umat Islam ditindas dengan penuh kezaliman oleh pemerintah Thailand yang diteraju oleh Thaksin Shinawatra. Maka dari detik itu, aku berazam memperbaiki keputusan peperiksaan aku dan belajar untuk mencintai ilmu pengetahuan kerana aku yakin hanya dengan ilmu, sesuatu kaum itu akan dihormati. Seseorang pelajar itu harus bersedia untuk menerima ilmu baru yang diajarkan oleh seorang guru dan bahkan perlu juga bersedia untuk ditegur jika melakukan kesilapan. Sifat tidak mahu menerima teguran atau kritikan merupakan sikap mereka yang sombong. Kesediaan untuk berkongsi ilmu dengan orang lain adalah ciri mereka yang benar-benar memahami erti menjadi seorang pelajar. Berkongsi ilmu dengan orang lain tidak akan sekali-kali mengurangkan kepandaian kita bahkan menambahkan kefahaman kita terhadap sesuatu ilmu yang dikongsikan. Bak kata Ustaz Zamri (Mantop), memberi adalah syarat untuk menerima.